Saturday, April 21, 2012
Neraca Perhitungan Manusia
Perbualan satu petang antara dua rakan,yang kebetulan kedua-duanya memakai baju kurung dan bertudung labuh,Joyah dan Bedah sambil merefer kepada A yang memakai tudung tak berapa nak labuh;
"Eh, cuba kau tengok perempuan tu. Dia tu budak sekolah XXXXX kan. Dengar cerita budak sekolah tu semuanya alim-alim,yelah,sekolah agama kan. Tapi aku tengok budak tu, biasa-biasa je. Tudung takdelah labuh sangat. Baju pun selalu T-shirt dengan seluar je.Tak pernah nampak kat luar pakai baju kurung. Nampak sangat alim dekat sekolah je. Tu sebab sekolah wajibkan pakai tudung labuh la tu. Nampak sangat belajar ilmu tak melekat dekat hati," Kata Joyah kepada Bedah sambil menjeling-jeling menyampah dekat A.
"Itu baru yang kau nampak kat luar. Kau tak tau ke, dekat rumah dia tengok drama korea, drama orang putih. Dengar pun lagu Korea dengan lagu English je. Mana main dengar nasyid macam kita-kita ni. Tu lah namanya orang belajar demi exam, belajar agama banyak-banyak pun tak melekat dalam hati," Kata Bedah kepada Joyah sambil memandang sinis kepada A.
Ehem,berdehem kejap,sakit tekak :)
Orang alim semuanya pakai tudung labuh ke?
Orang alim semuanya pakai baju kurung sahaja ke?
Orang alim semuanya dengar nasyid sahaja ke?
Orang alim semuanya kena sekolah agama ke?
Orang alim tu tak boleh buat silap ke? Dah perfect sangat macam Nabi?
Dah perfect sangat sampai boleh menghukum orang lain??
Tu lah namanya neraca manusia.
Neraca yang sangatlah tak tepat, penuh dengan prasangka, penuh dengan hasad dengki, penuh dengan sangka buruk, penuh dengan tuduhan, penuh dengan hukuman, penuh dengan caci maki,penuh dengan segala pandangan keduniaan,penuh dengan pandangan pada material sahaja dan macam-macam lagi.
Allah ciptakan semua manusia unik dengan ciri-ciri dan keistimewaan masing-masing. Semua orang tak sama. Keluarga yang berbeza, pendidikan berbeza, latar hidup berbeza, persekitaran berbeza dan semua yang sewaktu dengannya. Jadi wajarkah kita yang juga merupakan seorang hamba, yang masih lemah dan banyak kekurangan, menghukum dan menilai orang lain berdasarkan apa yang kita lihat dan nampak di luar? Dengan neraca yang telah kita sendiri tetapkan.
Saya sendiri sebagai pelajar Timur Tengah kadang-kadang sudah muak dan jelik dengan neraca manusia-manusia sekeliling. Lagi-lagi bila saya belajar di universiti yang mana ramai pelajarnya mengambil bidang Syariah, yang mana sekeliling saya adalah biah solehah. Tapi apa gunanya biah solehah kalau orangnya tidak solehah??
Saya sendiri pernah melalui penilaian neraca manusia ni yang pada pandangan saya sangatlah kejam. Saya akui, saya banyak kelemahan. Saya mungkin sekolah agama, bila exam agama Mumtaz. Markah subjek-subjek agama jarang bawah 80. Tapi di luar sekolah, saya membawa karakteristik A di atas. Salah saya yang tidak mengambil ilmu yang saya belajar dengan hati. Itu benar. Saya belajar kerana nak exam. Jadi ilmu agama yang saya pelajari, tak terpancar pun dalam gaya hidup saya.
Tapi wajarkah orang sekeliling menghukum saya? Dan bukan hanya saya tujukan perkara ini kepada saya,refer pada saya seorang tapi orang-orang lain yang senasib dengan saya.
Dalam perjalanan setelah mendapat tarbiyyah, banyak saya belajar. Sungguh benar rasanya mujahadah dan mujadalah tu. Kadang-kadang rasa macam banyak kali tersungkur tapi saya tetap bersyukur Allah tak pernah lupakan saya. Sentiasa beri saya peluang :')
Kita melihat orang dari luaran, kita judge mereka dari luaran, pakaian, penampilan, muamalat mereka. Tapi kita tahu ke bagaimana kehidupan mereka di rumah? Kita tahu ke bagaimana parents mereka, keluarga mereka, rakan-rakan mereka? Semua tu banyak memberi kesan pada kehidupan seseorang. Dan paling penting, tahukah kita apa yang ada di dalam hati mereka? Mana tahu, dalam hati mereka, mereka sedang melalui keperitan, kesusahan untuk berubah menjadi hamba yang lebih taat dan patuh,menjadi insan yang lebih baik.
Manusia, iman kita memang sentiasa naik dan turun. Kita bukannya malaikat yang imannya statik sahaja. Ada hari iman kita tinggi, mungkin ibadah kita lebih, mungkin baju kita lebih besar daripada biasa, mungkin tudung lebih labuh dan bila iman turun, mungkin sebaliknya yang kita buat. Tapi wajarke kita tegur atau perli orang tu? Contohnya macam yang saya sendiri pernah lalui;
"Kenapa hari ni tudung kau lain sikit? Pendek betul aku tengok. Tudung balad tu ke? Selalu tengok pakai tudung besar je. Hari ni pulak jadi pendek."
Boleh ke tegur dengan cara macam tu? Berhemah ke? Kalau kita nampak pada suatu hari tu, tindakan orang tu berlainan dari biasa, macam tudung tu, sangka baik lah. Mana kita tahu apa dalam hati mereka. Mana kita tahu, mungkin pada waktu itu, diri orang itu sendiri sedang penat bermujahadah
-tudung saya itu tidaklah pendek.menutup sahaja dada dan saya tidak simpang pun tudung tu kerana risau nampak pendek.tapi rakan ni,bagi dia,tudung hanya labuh bila dah sampai ke punggung,bila hadapan labuh sampai ke melebihi pinggang.mungkin pada dia,tudung saya masih tidak cukup syarat,wallahualam-
Sentiasa sangka baik pada orang lain. Semua orang ada kesusahan masing-masing. Muajahadah setiap orang berbeza. Jangan hanya kerana kita sekolah agama,pakai tudung labuh kita dah rasa diri kita lebih baik dan lebih alim daripada orang lain.
Orang pakai tudung labuh semuanya dah perfect ke? Orang pakai baju kurung semuanya dah perfect ke? Tak buat dosa,LANSUNG???
Ramai sahaja yang saya lihat, akhlaknya tak seindah tudungnya yang labuh. Pergaulannya dengan berlainan jantina, lebih teruk dan adakalanya macam orang tak tahu batas pergaulan,astaghfirullah...Tapi saya sendiri tak mahu menjadi orang yang judgement, saya anggap, mungkin waktu itu imannya sedang kurang. Mujahadahnya menemui jalan yang payah. Saya hanya mampu doa orang itu sedar akan salahnya dan berubah.
Perkara ni sama sahaja pada kaum lelaki, bukan kaum wanita je. Tak semua yang pakai jubah tu baik, tak semua yang pakai serban tu baik. Tak semua yang main bola jahat, tak semua yang main game jahat.
Daripada kita sibuk menghukum, apa salahnya kita mendekati individu-individu yang sibuk kita hukum tu, ajak mereka sama-sama kembali pada Allah? Tegur mereka dengan hikmah. Sebelum tegur tu, bina hubungan dan ukhuwwah baik dengan mereka dulu. Jangan main terjah tegur. Nanti makin lari pula orang tu. Kata nak masuk syurga. Takkan nak duduk syurga sorang-sorang??
Tariklah tangan sahabat kita bersama, keluarga kita, orang-orang di sekeliling kita.
Hanya Allah yang layak menilai dan menghukum hamba-hambaNya. Neraca Allah lah yang paling tepat dan mustahil silap. Semoga segala yang kita buat berada di neraca yang diredhai Allah. Biarlah manusia dengan neraca dan nilaian mereka. Neraca manusia takkan pernah sama dengan neraca Allah.
Akhir kata, yang baik daripada Allah, yang kurang adalah daripada kelemahan diri saya yang masih banyak kekurangan ni. Saya sendiri cuba menghindarkan diri daripada sifat-sifat judgmental dan suka menghukum ni. Moga ALLAH permudahkan. Moga ALLAH redha dengan kehidupan kita. Wallahualam...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)




No comments:
Post a Comment